Banner
  • Search

  • Perakini

    Akal untuk Berfikir

    Thursday
    Oct 23rd

    Panduan bagi Orang Islam dalam meraikan sambutan Tahun Baru Cina di Malaysia

    User Rating: / 1
    PoorBest 

    Perayaan-perayaan bukan Islam boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pertama perayaan yang bersifat keagamaan dan kedua perayaan yang bukan berbentuk keagamaan.

    Suatu perayaan itu berbentuk keagamaan apabila perayaan tersebut mengandungi upacara keagamaan yang lebih banyak dan lebih menonjol. Dengan itu apabila disebut perayaan berbentuk keagamaan, ia melibatkan upacara penyembahan (ibadat) dan pengamalan adat dan tradisi yang berkaitan dengan ibadat tersebut dalam perayaan sesuatu agama, yang dikira menjadi tuntutan agama itu sendiri. Antara contoh perayaan keagamaan ialah Krismas, Wesak, Cap Goh Mei, Deepavali, Thaipusam dan Pesta Keamatan.

    Suatu perayaan itu bukan berbentuk keagamaan apabila ia mengandungi amalan adat, budaya dan tradisi lebih banyak dan lebih menonjol berbanding upacara keagamaan. Ungkapan adat merujuk kepada peraturan yang sudah diamalkan secara turun temurun sejak dahulu kala dalam sesuatu mayarakat sehingga menjadi hukum dan peraturan yang harus dipatuhi. Ungkapan budaya membawa maksud tamadun, peradaban, kemajuan fikiran, akal budi, cara berfikir dan berkelakuan dan sebagainya. Ungkapan tradisi pula merujuk kepada sesuatu kebiasaan seperti adat kepercayaan dan lain-lain yang kekal turun temurun dan sudah menjadi amalan sebati dalam sesebuah masyarakat. Dengan itu apabila disebut perayaan bukan keagamaan di kalangan warga bukan beragama Islam, ia merujuk kepada kepercayaan-kepercayaan silam tertentu yang diwarisi daripada nenek moyang mereka lagi. Antara contoh perayaan bukan keagamaan adalah Hari Gawai, Tahun Baru Cina dan Perayaan Hantu.

    Dalam suasana masyarakat berbilang kaum dan agama ini, orang Islam tidak dapat lari dari menghadapi sambutan perayaan-perayaan ini. Penglibatan orang-orang Islam dalam perayaan berlaku dalam banyak bentuk. Artikel ini akan mengupas penglibatan kita berasaskan jawapan kepada beberapa persoalan.

    Tahun Baru Cina

    Tahun Baru Cina merupakan perayaan terpenting kaum Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar qamari Cina. Kalendar qamari Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dan dinamakan sempena nama haiwan. (Lihat Tarikh perayaan di bawah.) Tahun Baru Cina melambangkan permulaan, titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Sebelum hari tahun baru bermula, sanak saudara yang jauh akan kembali berkumpul. Rumah akan dicuci dan segala hutang-piutang dikutip atau dibayar agar mereka tidak sentiasa dikelilingi hutang sepanjang tahun yang baru. Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan bagi menghalau puaka dan nasib malang. Rumah-rumah dihiasi dengan buah limau, bunga dan pokok limau sebagai simbol murah rezeki.

    Tahun Baru Cina diraikan dengan jamuan yee sang dan kuih bakul. Kaum keluarga akan makan besar dengan masakan tradisi seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut, dan limau mandarin. Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Perarakan tarian naga atau singa akan diadakan, dengan kereta berhias yang diiringi bunyi gendang. Lima belas hari selepas perayaan Tahun Baru Cina, ia ditamatkan dengan perayaan Chap Goh Mei. Tahun Baru Cina bukan sahaja diraikan oleh kaum Cina di merata dunia, malah turut dirayakan oleh bangsa Korea, Vietnam, Mongol dan Miao (Hmong China) yang dipengaruhi oleh China dari segi kebudayaan dan keagamaan, maka turut memakai kalendar qamari Cina.

    Bolehkan kita mengucapkan tahniah atau ‘Selamat Tahun Baru Cina’ atau Gong Xi Fa Cai kepada rakan-rakan berbangsa Cina?

    Secara umumnya, memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mail atau sistem pesanan ringkas (sms) dan sebagainya kepada orang bukan Islam sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Islam serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut. Menurut Sheikh Yusuf al-Qaradawi, Sebenarnya menghulurkannya ucapan tahniah tidak dilarang. Lebih-lebih lagi kalau orang-orang bukan Islam itu selalu menghulurkan ucapan tahniah kepada orang-orang Islam, bersempena dengan hari raya Aidil Adha dan Aidil Fitri. Orang Islam diperintahkan supaya membalas kebaikan dengan kebaikan dan menjawab sesuatu ucapan dengan ucapan yang lebih baik daripada itu atau sekurang-kurang sama dengannya. Oleh kerana Tahun Baru Cina adalah perayaan bukan keagamaan, maka ucapan-ucapan tersebut tidaklah menjadi kesalahan.

    Bolehkan kita turut sama memakai pakaian seperti Chang Sam atau Chang Pao bagi lelaki dan Cheong Sam bagi perempuan?

    Pakaian yang disebutkan di atas adalah pakaian tradisional kaum cina dan tiada kaitan dengan agama Buddha. Oleh itu, pada asasnya tidaksalah memakai pakaian tersebut dengan syarat ia memenuhi tuntutan penjagaan aurat yang ditetapkan syarak dan tidak mempunyai simbol atau lambang keagamaan. Namun begitu, rekaan Cheong Sam atau seumpamanya hari ini yang ketat dan mendedahkan aurat tidak menepati kaedah penjagaan aurat bagi wanita muslim adalah ditegah kepada wanita muslim.

    Bolehkah kita turut sama merayakan perayaan Tahun Baru Cina?

    Secara umumnya, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007 telah memutuskan bahawa Apa jua amalan atau perlakuan orang Islam dalam hal-hal yang berkaitan dengan perayaan orang bukan Islam dalam bentuk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam sendiri seperti mengunjungi rumah-rumah ibadah, memakai pakaian yang ada simbol agama mereka dan seumpamanya. Ini kerana dengan berbuat demikian beerti wujud tanda-tanda redha kepada kekufuran, sedangkan redha kepadah kekufuran ditegah dan dilarang oleh Islam.

    Bolehkan orang Islam menghadiri rumah terbuka sempena sambutan Tahun Baru Cina?

    Hari ini boleh dikatakan sudah menjadi kebiasaan penganut agama yang ada di negara kita, terutama sekali pembesar negara, mengadakan rumah terbuka, sempena hari raya mereka dan menerima berbagai-bagai tetamu pada hari itu, yang terdiri daripada berbagai-bagai latar belakang agama. Malah orang-orang Islam juga mengadakan rumah terbuka dan menerima tetamu dari kalangan bukan Islam, yang turut menjamu selera dan sebagainya. Ini menggambarkan semangat toleransi, kerjasama dan perpaduan erat yang berlaku di kalangan penduduk di negara ini.

    Pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM )mengharuskan warga negara beragama Islam mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh warga negara bukan beragama Islam di Malaysia, bersempena dengan perayaan mereka, namun dalam masa yanag sama JAKIM mengeluarkan beberapa kriteria utama yang perlu dijadikan garis panduan oleh warga negara beragama Islam supaya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut

    1. Kehadiran di dalam rumah terbuka itu, tidak menggadai akidah dan maruah diri seorang Islam.
    2. Rumah terbuka itu tidak diadakan di rumah-rumah ibadah atau berhampiran dengan rumah ibadah.
    3. Kehadiran ke rumah terbuka sebagai meraikan hubungan sosial seperti jiran tetangga, rakan sekerja dan seumpamanya. Orang Islam yang mengunjunginya pula sudah biasa pergi ke rumah rakan-rakan bukan Islam itu. Jika tidak pernah pergi, sebaliknya hanya berbuat demikian pada hari orang bukan Islam mengadakan majlis rumah terbuka, makruh menghadirinya. Mengekalkan hubungan baik antara orang Islam dengan bukan Islam, di samping mewujudkan situasi harmoni, damai dan sejahtera,  antara nilai-nilai murni yang dianjurkan oleh Islam.
    4. Tidak ada unsur membesarkan agama atau upacara agama orang bukan Islam yang mengadakan rumah terbuka.
    5. Tidak ada unsur kemaksiatan dan kemungkaran secara zahir seperti hidangan minuman keras, nyanyian yang melalaikan, mengganggu syiar ibadah orang Islam dan seumpamanya.
    6. Tidak ada unsur atau elemen penghinaan terhadap nabi s.a.w, kitab suci al-Qur’an dan seumpamanya.
    7. Tidak terdapat upacara agama mereka di dalam majlis tersebut, sebaliknya semata-mata jamuan makan sahaja.
    8. Tidak membawa hadiah untuk diberikan kepada mereka pada hari itu, berlainan dengan hadiah yang dibawa di dalam majlis perkahwinan, kelahiran anak, isteri sakit dan sebagainya, yang tidak ada unsur membesarkan agama mereka.
    9. Rumah terbuka itu diadakan oleh orang-orang bukan Islam  itu sendiri dan bukannya diadakan oleh pemimpin negara yang beragama Islam, kerana pemimpin Islam dikehendaki bertoleransi dengan rakyat bukan Islam, namun tidak boleh sampai ke tahap menganjurkan majlis rumah terbuka itu sendiri, kerana mengandungi unsur menzahirkan agama bukan Islam di dalam negara Islam. Jika ingin juga diadakan rumah terbuka, hendaklah dibuat tidak bersempena dengan perayaan agama-agama bukan Islam, sebaliknya dipilih hari-hari lain dan diletakkan nama yang sesuai dengannya seperti jamuan rakyat berbagai kaum dan sebagainya.

    Jika syarat-syarat ini tidak wujud, sewajarnya tidak menghadiri majlis mereka, sebagai mengambil langkah ke arah menutup pintu yang boleh membawa fitnah kepada umat Islam.

    Bolehkan kita menerima hadiah berupa ang-pow?

    Oleh keranamenerima ang-pow adalah amalan kebudayaan dalam sambutan Tahun Baru Cina, perbuatan ini tidaklah ditegah. Selain daripada itu, tidak menjadi masalah menerima hadiah daripada mereka dan membalas hadiah tersebut, kerana Rasulullah s.a.w sendiri menerima hadiah daripada maharaja Muqawqis, asal sahaja tidak melibatkan benda yang diharamkan seperti arak, daging khinzir dan sebagainya.

    Kesimpulan

    Warga negara beragama Islam dilarang sama sekali merayakan perayaan bukan Islam sama sebagaimana yang disambut oleh warga negara bukan beragama Islam atau terlibat dalam upacara-upacara ibadah agama bukan Islam. Menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh warga negara bukan Islam yang terdiri daripada rakan-rakan sekerja, rakan-rakan sepejabat, majikan dan sebagainya adalah harus dalam konteks Malaysia, kerana telah menjadi tradisi dan adat yang diamalkan oleh penduduknya dan tidak mengandungi ertikata menyerupai orang bukan Islam, yang dilarang. Bukan sahaja warga negara bukan beragama Islam yang mengadakan rumah terbuka, bahkan juga diadakan oleh warga negara beragama Islam dalam perayaan mereka dan sudah biasa berlaku kunjung mengunjung pada hari tersebut tanpa mengira latar belakang agama dengan syarat-syarat yang telah digariskan pihak JAKIM.

    Mengucapkan tahniah bersempena dengan perayaan bukan Islam adalah harus dalam konteks Malaysia, kerana tidak termasuk ke dalam ertikata menyerupai orang-orang bukan Islam yang dilarang, kerana pada kebiasaan ucapan tersebut tidak mengandungi pengertian reda dengan agama mereka. Ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan bersempena hari raya tersebut, kebiasaannya tidak mengandungi sebarang perakuan terhadap agama mereka atau tanda-tanda yang menunjukkan seseorang reda dengan agama mereka, sebaliknya ungkapan-ungkapan yang biasa digunakan oleh orang ramai setiap kali hari raya masing-masing.

    Selain daripada itu, tidak menjadi masalah menerima hadiah daripada mereka kerana Rasulullah s.a.w sendiri menerima hadiah daripada maharaja Muqawqis, asal sahaja tidak melibatkan benda yang diharamkan seperti arak, daging khinzir dan sebagainya

    Rujukan

    Fiqh Masyarakat Bukan Islam Di Malaysia. Dr Abdul Karim Ali & Rumaizi Ahmad. Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor. 2011

    Golongan Bukan Muslim dalam Masyarakat Islam. Dr Yusuf Al Qaradhawi. ABIM. 1999

    http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-orang-islam-mengucapkan-tahniah-dan-ucapan-selamat-bersempena-perayaan-agama-

     

    Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
     

    Add comment


    Security code
    Refresh

    Perakini © Para Pembaca bebas menyalin artikel ini tetapi hendaklah meletakkan pautan asalnya bagi memudahkan rujukan semula. Artikel-artikel di sini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

    Banner
    Facebook MySpace Twitter Google Bookmarks RSS Feed 

    Waktu Solat

    Lagu nasihat
    Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com

    Kenyataan Media@alternatif

    Aljazeera.Net

    JComments Latest

    • I am not sure where you're getting your informatio...
    • I do not leave many comments, however i did a few ...
    • Thanks to my father who told me about this webpage...
    • As the webmasters and marketers restored their pre...
    • Unquestionably imagine that that you stated. Your ...