Banner
  • Search

  • Perakini

    Akal untuk Berfikir

    Wednesday
    Jul 30th

    Laporan Audit Negara 2009: Kerja tidak mengikut spesifikasi, tidak sesuai dan tidak bermutu

    User Rating: / 0
    PoorBest 

    Saya sempat meneliti Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2009. Saya mendapati sekurang-kurangnya 9 kementerian yang diaudit mempunyai masalah yang sama iaitu peruntukan yang berjumlah beratus juta telah dihabiskan tetapi projek yang dijalankan tidak mengikut spesifikasi, tidak sesuai dan tidak berkualiti. Berikut adalah projek-projek berikut:-

    JABATAN PERDANA MENTERI
    Biro Tatanegara - Pembinaan, Pembesaran Dan Naik Taraf Kem Bina Negara
    Biro Tatanegara telah diluluskan peruntukan berjumlah RM96.43 juta bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009 untuk melaksanakan pembinaan 5 Kem Bina Negara (KBN) yang baru; pembesaran 3 kem sedia ada; naik taraf 14 kem sedia ada; kerja kerja baik pulih kem dan projek pengkomputeran. Sehingga akhir tahun 2009, sejumlah RM63.59 juta (65.9%) daripada peruntukan tersebut telah dibelanjakan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga September 2009 terhadap pembinaan Pusat Latihan Bina Negara, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur dan KBN Sampadi, Sarawak; pembesaran KBN Langkawi, Kedah dan KBN Lipis, Pahang serta naik taraf KBN Meru, Selangor mendapati beberapa kelemahan seperti
    berikut :-
    i. Projek lewat disiapkan antara 2 bulan hingga melebihi 2 tahun.
    ii. Kerja pembinaan tidak mengikut spesifikasi kontrak, tidak sesuai dan tidak berkualiti.
    iii. Sebahagian kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor sebagai ganti terhadap peralatan yang tidak dibekal dan tidak dipasang telah dibuat tanpa kelulusan Pegawai Penguasa Projek secara bertulis.
    iv. Sehingga akhir tahun 2009, KBN Langkawi masih tidak beroperasi sejak diserahkan oleh kontraktor pada 29 Februari 2008 disebabkan Sijil Layak Menduduki tidak diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Manakala KBN Lipis telah menggunakan kem yang siap dibina sejak bulan Mac 2008 walaupun Sijil Layak Menduduki belum diluluskan oleh PBT yang berkenaan.

    Jabatan Kastam Diraja Malaysia - Pengurusan Mesin Pengimbas
    Setakat bulan September 2009, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Jabatan Kastam) mempunyai 74 mesin pengimbas di seluruh negara iaitu 19 mesin pengimbas kontena, 54 mesin pengimbas bagasi dan satu mesin pengimbas badan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga September 2009 di Ibu Pejabat Jabatan Kastam dan 24 Stesen Kastam di 5 negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor, Kelantan dan Sabah mendapati beberapa kelemahan seperti berikut :-
    i. Mesin pengimbas tidak digunakan disebabkan kerosakan dan kekurangan kakitangan sama ada dari segi bilangan atau kelayakan untuk mengendalikannya.
    ii. Di stesen Pelabuhan Utara, Selangor, Tanjung Puteri, Johor dan Rantau Panjang, Kelantan, didapati Jabatan Kastam telah membuat bayaran berjumlah RM1.17 juta bagi tempoh bulan Julai 2006 hingga Jun 2009 kepada kontraktor yang dilantik bagi kerja penyenggaraan yang tidak dilaksanakan atau hanya dilaksanakan sebahagiannya memandangkan dalam tempoh tersebut, mesin berkenaan mengalami kerosakan atau tidak digunakan.

    KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI
    Program Insentif Pengeluaran Padi
    Bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009, Kerajaan telah meluluskan peruntukan berjumlah RM432.96 juta untuk melaksanakan Program Insentif Pengeluaran Padi (Program Insentif). Pengauditan telah dijalankan antara bulan Julai hingga November 2009 di Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani (Kementerian); Ibu Pejabat Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Pejabat LPP Negeri Perak, Selangor dan Terengganu; Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Kelantan; Jabatan Pertanian Sarawak dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Kedah. Hasil daripada pengauditan tersebut mendapati objektif program ini iaitu untuk mengurangkan kos pengeluaran hasil padi yang ditanggung oleh pesawah/pengusaha pada umumnya telah dapat dicapai. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan seperti pendaftaran pesawah/pengusaha untuk mendapatkan input pertanian tidak teratur; input pertanian lewat dibekalkan dan tidak memenuhi
    spesifikasi kontrak; prosedur menimbang berat baja tidak dipatuhi; denda berjumlah RM7.56 juta belum dijelaskan oleh kontraktor; pengagihan input pertanian kepada pesawah/pengusaha tidak teratur dan input pertanian tidak digunakan oleh pesawah/pengusaha.

    KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN DAN KESEJAHTERAAN BANDAR
    Program Pembasmian Kemiskinan Bandar
    Sehingga 31 Disember 2009, seramai 110,017 orang telah menerima bantuan di bawah Program Pembasmian Kemiskinan Bandar yang melibatkan perbelanjaan berjumlah RM95.40 juta. Pengauditan telah dijalankan antara bulan Mei hingga September 2009 di Pejabat Pembangunan Daerah Petaling, Selangor serta di 14 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Negeri Perak, Kedah, Sabah dan Terengganu. Hasil daripada pengauditan tersebut mendapati bantuan yang diberi di bawah program ini secara umumnya telah dapat meringankan kos sara hidup keluarga miskin bandar. Bagaimanapun, terdapat beberapa kelemahan seperti pengagihan bantuan kepada penerima mengambil masa antara 9 hingga 501 hari; tidak semua bantuan sampai kepada golongan sasaran dan kelemahan dalam pengurusan dana.

    KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
    Pengurusan Rancangan Makanan Tambahan Di Sekolah
    Pada tahun 2009, seramai 689,950 murid di 138 daerah telah menerima bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) melibatkan perbelanjaan berjumlah RM249.26 juta. Nilai bantuan RMT bagi setiap pelajar sehari adalah RM1.80 di Semenanjung Malaysia dan RM2.05 sehari di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Jun hingga Oktober 2009 di Kementerian
    Pelajaran Malaysia (Kementerian), 4 Jabatan Pelajaran Negeri, 14 Pejabat Pelajaran Daerah dan 47 sekolah mendapati prestasi pengurusan RMT di 10 sekolah (21%) adalah memuaskan. Bagi sekolah yang lain, terdapat beberapa kelemahan seperti kelayakan menerima RMT tidak dipatuhi; pembekal/pihak sekolah tidak mematuhi panduan RMT dalam menyediakan makanan; makanan yang disediakan tidak berkualiti; pengurusan dan penyediaan makanan yang kurang memuaskan serta kelemahan dalam pemantauan.

    Pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin
    Sejak ditubuhkan pada tahun 2003, sejumlah RM1.62 bilion telah dibelanjakan untuk memberi bantuan kepada pelajar miskin untuk wang saku, tambang pengangkutan, pakaian seragam, peralatan sekolah serta yuran. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga November 2009 di 45 sekolah yang melibatkan 4 negeri iaitu Selangor, Kelantan, Pahang dan Sarawak mendapati prestasi pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) adalah kurang memuaskan. Terdapat kelemahan pengurusannya seperti beberapa peraturan mengenai permohonan dan pengagihan wang bantuan tidak dipatuhi serta rekod berhubung dengan bayaran tidak diselenggarakan dengan teratur. Kelemahankelemahan tersebut antaranya berpunca daripada Jawatankuasa Pengurusan Bantuan yang tidak menjalankan fungsinya dengan berkesan; kekurangan Pembantu Tadbir serta latihan yang secukupnya tidak diberi kepada pihak yang terlibat dengan pengurusan KWAPM.

    Projek Merekabentuk, Membina, Membekal, Menyiap Dan Menyenggara Set Janakuasa Di Sekolah-sekolah Kawasan Luar Bandar Negeri Sarawak
    Bagi tempoh tahun 2006 hingga 2009, sejumlah RM840.80 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan Projek Merekabentuk Membina, Membekal, Menyiap Dan Menyenggara Set Janakuasa Di Sekolah-sekolah Kawasan Luar Bandar Negeri Sarawak di 429 sekolah. Pengauditan yang dijalankan antara bulan April hingga September di 46 sekolah yang melibatkan 11 bahagian di Sarawak mendapati secara keseluruhannya projek ini telah mencapai objektifnya kerana telah berjaya membekal elektrik secara mencukupi dan berterusan untuk kegunaan sekolah sekolah tersebut. Bagaimanapun, pihak Audit mendapati beberapa kelemahan seperti perjanjian kontrak lewat ditandatangani; perancangan projek yang kurang memuaskan sehingga menyebabkan pembaziran; projek lewat disiapkan; kerja tidak mengikut spesifikasi; syarat kontrak berhubung dengan penggunaan bahanapi diesel tidak menjaga kepentingan Kerajaan kerana tiada peruntukan yang membenarkan pelarasan dibuat mengikut penggunaannya yang sebenar; perubahan skop kerja tidak disokong dengan Arahan Perubahan Kerja dan bayaran dibuat bagi
    kerja/perkhidmatan yang tidak dilaksanakan/dibekalkan.

     KEMENTERIAN KESIHATAN
    Projek Pembaikan Dan Naik Taraf Fasiliti Klinik Kesihatan
    Kementerian Kesihatan Malaysia telah menandatangani 2 kontrak bernilai RM198.79 juta untuk melaksanakan 321 Projek Membaiki Dan Naik Taraf Fasiliti Klinik Kesihatan. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Jun hingga Disember 2009 mendapati beberapa kelemahan seperti projek lewat disiapkan; spesifikasi kontrak tidak jelas; kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor tidak dipantau dengan rapi kerana kekurangan pegawai teknikal di peringkat negeri serta bayaran telah dibuat terhadap kerja yang tidak dilaksanakan atau tidak disempurnakan.

    KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
    Projek Pembinaan Kompleks Sukan Komuniti
    Di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kementerian Belia Dan Sukan (Kementerian) telah diluluskan peruntukan berjumlah RM150 juta untuk membina 50 kompleks sukan komuniti. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga Ogos 2009 di 4 Kompleks Sukan Komuniti iaitu Kompleks Sukan Komuniti Bentong; Sungai Siput; Ledang dan Besut mendapati pelaksanaan projek ini adalah kurang Memuaskan. Antara kelemahan yang diperhatikan ialah projek lewat disiapkan, beberapa spesifikasi kontrak didapati kurang sesuai atau tidak dipatuhi sepenuhnya dan kualiti pembinaan kurang memuaskan. Antara faktor yang menyebabkan kelemahan-kelemahan tersebut adalah kurangnya pemantauan dan penyeliaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor.

    KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT
    Kerja Pembaikan/Pembesaran/Naik Taraf/Pengubahsuaian Institusi Kebajikan Masyarakat
    Bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009, sejumlah RM57.34 juta telah dibelanjakan bagi melaksanakan kerja pembaikan/pembesaran/naik taraf/pengubahsuaian institusi kebajikan masyarakat. Pengauditan yang dijalankan antara bulan November 2009 hingga Februari 2010 terhadap 21 institusi kebajikan masyarakat di Selangor, Johor, Sarawak, Kedah dan Terengganu mendapati prestasi kerja pembaikan/pembesaran/naik taraf/pengubahsuaian yang dilaksanakan di 14 (66.7%) institusi adalah memuaskan. Manakala bagi 7 institusi yang lain, terdapat beberapa kelemahan ketara seperti skop/spesifikasi kerja tidak disediakan dengan jelas dan terperinci menyebabkan kerja yang dilaksanakan tidak dapat dinilai/tidak sempurna. Terdapat juga kerja-kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti disebabkan kurangnya pemantauan dan penyeliaan oleh pihak Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (Kementerian)/Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri/institusi yang berkenaan.

    Jabatan Kebajikan Masyarakat - Program Bantuan Kebajikan
    Bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009, sejumlah RM1,264.01 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan program ini. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga Julai 2009 terhadap Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian di 5 negeri iaitu Johor, Sabah, Selangor, Perak dan Kelantan mendapati pada umumnya pengurusan Program
    Bantuan Kebajikan telah dilaksanakan dengan memuaskan di mana bantuan telah dapat disampaikan kepada golongan sasaran. Namun begitu, terdapat beberapa kelemahan seperti berikut :-
    i. Beberapa permohonan baru/kajian semula kes tidak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan dalam Piagam Pelanggan.
    ii. Kelewatan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian mengembalikan wang bantuan yang tidak dapat diagihkan ke Jabatan Kebajikan Negeri telah menyebabkan wang tersebut lewat dimasukkan ke Akaun Bank Kerajaan.
    iii. Penyelenggaraan rekod yang tidak teratur.

    KEMENTERIAN PERTAHANAN
    Projek Pembinaan Hospital Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur
    Sejumlah RM285.11 juta telah dibelanjakan untuk melaksanakan projek ini. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Februari hingga April 2009 mendapati beberapa kelemahan seperti perancangan yang tidak teliti mengakibatkan arahan perubahan kerja dikeluarkan dan projek tidak dapat disiapkan mengikut jadual; kerja pembinaan tidak sesuai/tidak berkualiti dan hospital tidak dapat beroperasi sepenuhnya akibat daripada kelewatan perolehan linen/lain-lain keperluan.

    Pengurusan Bekalan Makanan Untuk Pasukan Tentera Darat
    Bagi tempoh tahun 2007 hingga 2009, Kementerian Pertahanan (Kementerian) telah membelanjakan sejumlah RM554.18 juta untuk bekalan rangsum segar dan RM163.48 juta untuk bekalan makanan secara katering bagi tujuan penyediaan bekalan makanan kepada pasukan Tentera Darat. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga Oktober 2009 mendapati beberapa kelemahan seperti kontraktor tidak membekalkan bahan makanan mengikut pesanan; kualiti bahan makanan yang dibekalkan kurang memuaskan dan keadaan rumah masak serta dewan makan yang tidak selesa. Bagi penyediaan makanan melalui khidmat katering, didapati beberapa syarat kontrak tidak dipatuhi seperti rumah masak yang diambil alih belum diubah suai dan sewa bulanan rumah masak yang digunakan oleh kontraktor masih belum dikutip.

    Pembinaan Rumah Pangsa Keluarga Anggota Tentera Di Kem Mahkota, Kluang, Johor
    Projek Pembinaan Rumah Pangsa Keluarga Anggota Tentera di Kem Mahkota, Kluang, Johor adalah untuk memenuhi keperluan tempat kediaman dan memberi keselesaan kepada anggota tentera. Projek ini bernilai RM43.87 juta dilaksanakan di atas tapak seluas 7.71 hektar di dalam Kem Mahkota, Kluang bagi menggantikan kuarters lama yang sudah tidak sesuai lagi untuk diduduki. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Januari hingga Mac 2009 mendapati projek ini telah lewat disiapkan selama 754 hari dan terdapat kerja-kerja pembinaan yang tidak berkualiti/tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan. Terdapat juga kes di mana kemudahan yang disediakan tidak sesuai digunakan kerana kelemahan spesifikasi/reka bentuk. Dua daripada tiga blok rumah pangsa iaitu Rumah Pangsa Kelas ‘F’ dan ‘G’ yang telah disiapkan lewat diduduki selama 13 bulan kerana pasukan pemeriksaan bersama yang dianggotai oleh wakil Kementerian Pertahanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan kontraktor lewat menjalankan pemeriksaan bagi menentukan sama ada bangunan tersebut telah dibina dengan sempurna dan selamat untuk digunakan. Kelewatan ini menyebabkan Kementerian Pertahanan terpaksa menanggung elaun perumahan anggota tentera yang
    sepatutnya ditempatkan di rumah pangsa tersebut.

    KEMENTERIAN DALAM NEGERI 
    Polis Diraja Malaysia - Pembinaan Pangkalan Polis Marin Di Pelabuhan Klang, Selangor
    Pangkalan Polis Marin Pelabuhan Klang dibina dengan kos yang dianggarkan bernilai RM70 juta. Projek ini adalah untuk menampung keperluan Pasukan Polis Marin Pelabuhan Klang yang masih belum mempunyai pejabat dan jeti yang tetap serta lain-lain kemudahan asas. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Oktober 2009 mendapati beberapa kelemahan dalam perancangan dan pelaksanaan projek. Antara kelemahan tersebut adalah projek lambat dimulakan dan lewat disiapkan selama 1 tahun; perjanjian kontrak lewat ditandatangani; terdapat kerja pembinaan yang dihasilkan tidak berkualiti, reka bentuk/spesifikasi yang tidak sesuai; bangunan siap tetapi lewat digunakan serta jalan masuk ke Pangkalan Polis Marin tidak sempurna.

    Polis Diraja Malaysia - Projek Pembinaan Perumahan Dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah
    Projek pembinaan Perumahan Dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah yang bernilai RM90 juta sepatutnya disiapkan pada 17 Oktober 2008. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Oktober 2009 mendapati projek ini masih belum disiapkan disebabkan oleh masalah kontraktor dan subkontraktor. kegagalan menyiapkan projek ini menyebabkan Kerajaan terpaksa membayar imbuhan balik gaji Jurutera dan Kerani Tapak serta Imbuhan Tetap Perumahan/Elaun Sara Hidup kepada pegawai/anggota polis dan pegawai/kakitangan awam berjumlah RM4.68 juta dan menanggung kos tambahan untuk menyiapkan projek ini. Selain itu, kerja-kerja yang dilaksanakan juga tidak mengikut spesifikasi/tidak berkualiti.

    Polis Diraja Malaysia - Kerja Pembaikan Dan Penyenggaraan Balai Dan Kuarters Polis
    Sehingga akhir tahun 2009, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 768 balai polis di mana 536 daripadanya adalah berusia antara 20 tahun hingga melebihi 51 tahun. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Disember 2009 mendapati pada umumnya kerja pembaikan/penyenggaraan balai dan kuarters polis tidak dilaksanakan dengan memuaskan akibat daripada kurangnya penyeliaan/pemantauan terhadap kerja pembaikan/penyenggaraan oleh PDRM. Terdapat beberapa kelemahan seperti berikut :-
    i. Beberapa kerosakan yang tidak diperbaiki/disenggarakan yang boleh menjejas keselamatan/keselesaan pengguna.
    ii. Kerja pembaikan/penyenggaraan tidak dibuat dengan memuaskan sama ada kerana skop kerja tidak dipatuhi atau tidak dinyatakan dengan jelas oleh PDRM.
    iii. Sebanyak 37 kerja berjumlah RM63,800 telah dibayar kepada kontraktor untuk kerja yang tidak dilaksanakan atau dilaksanakan dengan tidak sempurna.
    iv. Harga perolehan bagi beberapa kerja lebih tinggi daripada harga yang ditetapkan dalam Jadual Kadar Harga Kerja-Kerja Kecil Dan memperbaiki Jabatan Kerja Raya serta harga yang berbeza-beza dibayar bagi kerja yang sama di pejabat yang sama.

    Jabatan Imigresen Malaysia
    Aktiviti Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI)
    Bagi tahun 2008 dan 2009, sebanyak 14,873 operasi telah dilaksanakan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di mana seramai 113,359 orang PATI telah ditangkap. Pengauditan yang dijalankan antara bulan Mei hingga September 2009 di Bahagian Penguat Kuasa, Ibu Pejabat JIM dan 4 Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Negeri di Selangor, Kedah, Kelantan dan Sabah mendapati beberapa kelemahan seperti berikut :-
    i. JIM tidak menyelenggarakan rekod berhubung dengan aktiviti penguatkuasaan PATI dengan teratur.
    ii. Mobile Imigration Enforcement System (MIES) dan peralatan berkaitan yang dibeli dengan kos berjumlah RM3.86 juta tidak digunakan sepenuhnya untuk operasi PATI kerana masalah liputan serta sistem tidak stabil.
    iii. Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 menetapkan hukuman tertentu yang boleh dikenakan terhadap PATI jika disabitkan kesalahan. Pada 16 September 2008, JIM telah mengeluarkan Surat Arahan Pentadbiran Bilangan 2 Tahun 2008 mengenai penubuhan Jawatankuasa Rayuan Imigresen bagi menimbangkan rayuan pengurangan amaun kompaun. Namun demikian, terdapat kes di mana pengurangan amaun kompaun telah diluluskan oleh pegawai atasan tanpa melalui Jawatankuasa tersebut. Ini adalah kerana Pekeliling Imigresen Malaysia Bilangan 11 Tahun 2003 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah, Timbalan Ketua Pengarah,
    Pengarah dan Timbalan Pengarah Bahagian/Negeri untuk mengurangkan kompaun tidak dibatalkan.

    PELBAGAI KEMENTERIAN DAN JABATAN
    Pengurusan Projek Di Bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama
    Sejumlah RM7 bilion peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama (PRE 1) telah diluluskan untuk melaksanakan 53 program yang dijangka dapat merangsang dan merancakkan pertumbuhan ekonomi. Pengauditan yang dijalankan pada tahun 2009 mendapati 93.9% daripada peruntukan yang diagihkan berjumlah RM6.72 bilion telah dibelanjakan dan 89.1% projek yang dirancang telah disiapkan.
    Bagaimanapun, tempoh pelaksanaan yang singkat telah menyebabkan beberapa prosedur/peraturan kewangan yang ditetapkan tidak dipatuhi sepenuhnya. Di samping itu, penyeliaan yang kurang teliti oleh kementerian/jabatan dan perunding telah mengakibatkan beberapa kelemahan seperti peruntukan tidak digunakan untuk tujuan asal program/projek; perancangan perolehan yang kurang teliti; sebahagian daripada peserta program tidak memenuhi kriteria penyertaan yang ditetapkan; bayaran dibuat bagi kerja/bekalan yang tidak disempurnakan; skop dan spesifikasi kerja tidak disediakan dengan jelas/tepat serta tidak dipatuhi.

    Kesimpulan

    Marilah kita nilai, sudah pasti terdapat sesuatu yang tidak kena dalam pengurusan peruntukan tersebut. Tentunya terdapat kelompok tertentu yang sedang menghabiskan dan akan terus mengaut kekayaan negara melalui peruntukan-peruntukan sebegini.

    Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com
     

    Comments  

     
    0 #3 google advertising 2014-07-17 00:04
    Hey! Do you know if they make any plugins to safeguard against
    hackers? I'm kinda paranoid about losing everything I've worked hard on. Any suggestions?
    Quote
     
     
    0 #2 http://www.deals- 2014-04-26 23:52
    Really no matter if someone doesn't be aware of afterward its up to other visitors that they will assist, so here it occurs.
    Quote
     
     
    0 #1 google api tutorial 2014-03-18 20:54
    Hi! Do you use Twitter? I'd like to follow you if that would be ok.

    I'm definitely enjoying your blog and look forward to new posts.
    Quote
     

    Add comment


    Security code
    Refresh

    Perakini © Para Pembaca bebas menyalin artikel ini tetapi hendaklah meletakkan pautan asalnya bagi memudahkan rujukan semula. Artikel-artikel di sini akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

    Banner
    Facebook MySpace Twitter Google Bookmarks RSS Feed 

    Waktu Solat

    Lagu nasihat
    Joomla Templates and Joomla Extensions by ZooTemplate.Com

    Kenyataan Media@alternatif

    Aljazeera.Net

    JComments Latest

    • I savor, lead to I discovered just what I used to ...
    • Everyone loves what you guys tend to be up too. Th...
    • Hello, I read your new stuff on a regular basis. Y...
    • Its like you read my mind! You appear to know so m...
    • Someone essentially lend a hand to make critically...